MagzNetwork

ABIM, PPIM RAKAN AKRAB MAJUKAN BELIA



Kota Kinabalu: Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Liew Yun Fah, mengakui gentar berdepan pertubuhan berasaskan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) pada peringkat awal menjawat portfolio itu enam bulan lalu.

Bagaimanapun, katanya, keadaan sudah berubah kerana kini badan bukan kerajaan (NGO) itu adalah rakan akrabnya dalam membangunkan belia di negeri ini.

"Pepatah Melayu yang menyebut 'tak kenal maka tak cinta' memang betul dan kini saya bangga kerana semua kegiatan belia yang menjurus kepada pembangunan Islam mendapat kerjasama baik ABIM dan PPIM. Saya harap lebih banyak kegiatan dianjurkan terutama untuk pembangunan modal insan belia Islam di negeri ini pada masa akan datang,'' katanya berucap pada majlis Aidilfitri ABIM Sabah dan PPIM Sabah disini, kelmarin.

Hadir sama, Yang Dipertua ABIM Sabah, Muddin Beting dan Presiden Persatuan Sama Sabah, Abdullah Sibil.

Liew berkata, kementeriannya melaksanakan pelbagai program belia untuk semua kaum terutama yang menjurus kepada penyertaan generasi muda pelbagai kaum. Beliau berkata, pertubuhan seperti ABIM dan PPIM sekadar menggunakan nama Islam tetapi tidak mengamalkan sentimen perkauman atau pengasingan diri daripada kaum lain.

"Ini membanggakan saya kerana kita dapat bekerjasama untuk kepentingan generasi muda selaku pemimpin pelapis negara," katanya. [Gambar]

Sumber: Berita Harian( Bahagian Sabah & Sarawak) bertarikh 12 November 2007

0 comments